May 9, 2013

Fotografi Zoo

CABARAN untuk menjadi seorang jurufoto hidupan liar bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai namun itu tidak bererti gambar-gambar haiwan hanya 'milik' mereka.
Peluang berada di  zoo  misalnya antara kesempatan yang sering digunakan oleh kebanyakan peminat  fotografi  untuk merakam aksi menarik pelbagai spesies haiwan.
Tanpa perlu berbelanja besar untuk menempah tiket penerbangan ke safari atau taman negara,  fotografi   zoo  atau taman-taman haiwan hanya memerlukan selaras lensa telefoto yang baik.
Lensa terbaik untuk tujuan itu adalah yang mempunyai bukaan pengatup luas antara f/2.8 hingga f/4 untuk mendapatkan imej yang kemas dan tajam.
Penggunaan lensa jenis itu juga membantu mengasingkan subjek dengan latar belakangnya. Selain itu kesan kabur juga amat berguna untuk 'menghilangkan' struktur binaan manusia seperti pagar dan kandang.
Bagaimanapun untuk menghidupkan suasana semulajadi seperti di habitat sebenar, rakaman hidupan liar di  zoo  mungkin memakan sedikit masa. Kunjungan pada waktu pagi mungkin dapat memberikan kesan pencahayaan terbaik. Selamat mencuba.





Apr 19, 2013

Kehebatan Telephoto

SELEPAS memiliki lensa biasa dan lensa sudut luas, keperluan seterusnya yang mungkin dapat memberi lebih kepuasan dalam hobi fotografi adalah lensa telefoto.
Secara umumnya, lensa yang mempunyai saiz lebih panjang ini berfungsi membesarkan saiz objek dengan membawa subjek yang berada jauh dari pandangan mata kelihatan lebih dekat dan besar.


Namun kegunaan lensa telefoto bukan hanya sebagai 'kanta pembesar' pada kamera sebaliknya mampu memberikan perspektif yang membolehkan pengguna menerokai ruang kreativiti dengan pelbagai cara.
Antara kesan yang paling digemari daripada penggunaan lensa versatil ini adalah keupayaan menonjolkan subjek dengan mengasingkan latar belakang menjadi kabur.
Selain itu, lensa ini juga menghasilkan pemampatan imej yang mewujudkan keintiman antara subjek dengan latar belakang walaupun pada hakikatnya kedua-duanya terpisah jauh.
Kesan pemampatan yang dimaksudkan itu boleh dilihat melalui rakaman pemandangan yang mana matahari dan bulan kelihatan lebih besar berbanding objek-objek lain.
Dalam fotografi landskap yang selalunya sinonim dengan lensa sudut luas, penggunaan lensa telefoto kadang kala mampu menghasilkan gambar yang cukup kreatif.
Bagaimanapun, penggunaan lensa dengan jarak fokal yang panjang ini tidak dapat lari daripada masalah gegaran sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.
Oleh itu, pengawalan kelajuan pengatup harus diberi perhatian dan sekiranya lensa dilengkapi teknologi penstabilan imej atau pengurangan gegaran, jangan lupa untuk mengaktifkannya.

Selain menjadi lensa wajib bagi jurufoto sukan, kewartawanan dan alam semulajadi, lensa telefoto juga pilihan yang baik untuk kegunaan fotografi potret dan makro.
Di pasaran, lensa telefoto datang dalam pelbagai jarak fokal dan spesifikasi. Ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu telefoto boleh zum dan telefoto berjarak fokal tetap.
Selain ditentukan oleh jarak fokal, harga bagi sebuah lensa telefoto biasanya bergantung kepada saiz bukaan pengatupnya. Misalnya sebuah lensa telefoto 70-200mm yang mempunyai bukaan pengatup f/2.8 dijual pada harga kira-kira RM7,000 berbanding RM4,000 bagi yang mempunyai bukaan pengatup f/4.

Klasik Hitam Putih



 Sentuhan hitam dan putih yang sesuai untuk gambar-gambar genre kewartananan.

MESKIPUN sinonim sebagai imej klasik, penggayaaan gambar hitam dan putih tidak dapat disangkal mempunyai kekuatan tersendiri.

Berbanding gambar-gambar berwarna, hasil fotografi hitam dan putih mampu memberikan impak dan lebih digemari khususnya bagi tujuan dekorasi.

Istimewanya, fotografi hitam dan putih adalah satu seni yang tidak dipengaruhi trend tanpa mengira bila tarikh sesuatu gambar dirakamkan.

Olahannya mungkin ringkas, namun gabungan dua tona warna cukup berkesan dalam menghidupkan suasana dramatik melalui kesan-kesan bayang, kabur, legam, kelabu dan abstrak.

Pada masa sekarang, penghasilan gambar hitam dan putih tidak sesukar yang dilakukan ketika zaman filem. Sekeping gambar berwarna yang dirakam kini boleh ditukar kepada format dengan hanya melakukan beberapa kali klik di dalam komputer.

Melalui perisian penyuntingan gambar yang semakin mudah diperolehi di pasaran dan secara atas talian, peminat fotografi kini boleh memilih beberapa perisian seperti Adobe Photoshop, Lightroom dan Picasa.

Adobe Photoshop misalnya menawarkan pelbagai kaedah penukaran warna gambar melalui fungsi 'grayscale', 'saturation' dan 'black and white'.

Lebih mudah lagi, kebanyakan kamera digital pada hari ini turut dilengkapi fungsi gaya hitam dan putih dinamakan 'monochrome'. Selamat mencuba.




KESAN perbezaan cahaya diperjelas dengan baik melalui format hitam dan putih.


PELBAGAI perisian menawarkan kaedah mudah untuk menukarkan format gambar berwarna kepada hitam putih.

KESAN perbezaan cahaya diperjelas dengan baik melalui format hitam dan putih.

Apr 17, 2013

Misteri Sewang Gelap



WALAUPUN tidak dibenarkan merakam gambar, peluang untuk menyaksikan upacara Sewang Gelap yang dijanjikan oleh masyarakat Temiar di Fort Kemar tidak mungkin dilepaskan.
Ketibaan saya di penempatan Orang Asli di hulu Perak, baru-baru ini disambut mesra oleh sekumpulan penduduk sebelum dijemput ke tempat berlangsungnya upacara tersebut.
Perjalanan menuju ke dewan persembahan yang terletak di puncak bukit pada malam itu tidak begitu memenatkan kerana perasaan lebih diselubungi seram dan mistik.
Selepas kira-kira setengah jam, saya bersama sembilan orang rakan tiba di dewan persembahan yang dipanggil balai Senindol.
Bukan sekadar dewan persembahan, bangsal yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun bertam itu juga berfungsi sebagai rumah ibadat kepada masyarakat Temiar yang menganuti kepercayaan animisme.
Dalam kesamaran malam yang hanya diterangi cahaya bulan, kelihatan beberapa orang lelaki sedang menunggu ketibaan kami di halaman dewan. Di situ kami diminta memadamkan lampu suluh dan dinasihatkan supaya tidak membuat bising.
Di beranda dewan, seorang demi seorang dipakaikan hiasan kepala yang dianyam daripada daun nipah. Sejambak bunga yang digubah bersulam dengan daun-daun hutan yang dipanggil tempok turut disua ke tangan kami. 





Menurut kepercayaan Temiar, pemakaian tempok adalah sebagai pelindung yang menjauhkan seseorang daripada semangat jahat yang mungkin memasuki badan ketika menyaksikan upacara purba tersebut.
Terdahulu, saya dimaklumkan upacara yang akan dipersembahkan pada malam itu jauh berbeza dengan persembahan sewang yang biasa dimainkan untuk tontonan pelancong.
Penduduk kampung, Othman Sending, 53, berkata, Sewang Gelap jarang disaksikan 'orang luar' kerana hanya dimainkan untuk tujuan perubatan dan upacara-upacara memohon hajat.
"Sewang malam ini adalah sewang sebenar seperti yang diamalkan oleh nenek moyang kami dahulu.
"Upacara ini hanya boleh dimainkan dalam keadaan gelap dan mempunyai banyak pantang larang. Sebab itu anda semua tidak dibenarkan membawa kamera," katanya.
Ketibaan kami di muka pintu dewan itu disambut oleh Ahmad Itam, 42, ketua balai yang akan mengepalai sewang. Menurut adat bersewang, ketua balai atau 'Tok Halaq' juga memainkan peranan sebagai dukun yang berkebolehan berkomunikasi dengan pesakit.
Selepas melangkah ke ruang utama, tetamu diminta memenuhi tempat duduk di sebelah kiri dewan yang ketika itu hanya diterangi dua batang lilin.
Dalam kesamaran itu, kelihatan kelibat sekumpulan wanita sedang bersila sambil memegang dua batang buluh di tempat duduk bertentangan tempat duduk kami.
Tidak lama selepas itu, kedengaran suara Tok Halaq berbisik kepada orang kanannya sebagai isyarat majlis akan bermula. Dalam keheningan malam itu, suara garau seorang lelaki tua tiba-tiba memecah kesunyian dengan laungan dalam bahasa Temiar.
Walaupun tidak memahami apa yang dituturkan, saya sempat 'menangkap' beberapa patah perkataan seperti rahmat, berkat, selamat, hantu dan syaitan yang memberi gambaran bahawa Tok Halaq sedang membaca mantera.
Selepas menyampaikan hajat dan permintaan kepada semangat di hutan, Tok Halaq berdiri lantas memulakan nyanyian yang kemudian disambut oleh suara 'orkestra' perempuan yang cukup merdu.
Serentak dengan itu juga, kumpulan penyanyi wanita atau 'mek' mula menghentak-hentak dua batang buluh pada kayu genalang bagi menghidupkan rentak 'tribal' di dalam dewan sebesar gelanggang badminton itu.
Lagu yang dinyanyikan adalah secara bergilir-gilir antara suara lelaki dan wanita dengan cukup ringkas.
Mengikut kepercayaan Temiar, baris dan rangkap tertentu dalam lagu-lagu sewang dipilih sebagai korus yang berfungsi sebagai pujukan kepada roh nenek moyang mereka dan semangat di hutan agar hajat yang dipohon diperkenankan.
Pada malam itu, persembahan sewang ditujukan kepada rombongan kami supaya kehadiran dan kepulangan dijauhi daripada gangguan dan perkara tidak diingini.
Di tengah dewan, kumpulan penari lelaki atau 'nyuk' mula menari mengikut rentak alat muzik yang dipanggil 'smer'. Lantai buluh melendut dan meleding dipijak mereka, sesekali bergoyang sehingga ke tempat duduk kami.
Setiap kali berakhirnya rangkap lagu, jambak bunga yang berada di genggaman setiap penari dikibas-kibas pada seluruh badan.
Suasana mistik di balai Senindol dihidupkan lagi dengan hiasan daun-daun yang digantung di sekeliling dewan tarian. Meskipun tidak begitu mengetahui fungsinya, aroma daun-daun hutan yang mencucuk hidung itu mungkin menjadi pelindung kami daripada gigitan nyamuk.
Selepas kira-kira sejam, upacara berakhir dengan iringan doa oleh Tok Halaq. Sebelum dibenarkan pulang, para tetamu di bawa ke tengah dewan untuk disiram dengan air perahan pohon tebu hutan.
Titisan air yang mengalir keluar dari batang tumbuhan itu dipercayai mampu memulih dan menyembuhkan seseorang daripada sebarang penyakit disebabkan oleh gangguan semangat jahat.

Keindahan Alam Marin


KEUNIKAN alam marin yang dipenuhi hidupan ganjil dan berwarna-warni merupakan antara pemandangan paling memukau untuk diabadikan pada sekeping kanvas.
Keindahan dunia separa fantasi itu sekali gus menjadikan fotografi bawah air antara kemuncak kepuasan dalam penghasilan gambar yang mempunyai subjek-subjek luar dari kebiasaan.
Selain kemahiran menyelam skuba, fotografi bawah air juga menuntut penggunaan peralatan khusus yang agak mahal sehingga ramai yang berfikir panjang untuk menceburi bidang itu.
Bagi yang mempertimbangkan fotografi bawah air sebagai kerjaya profesional dan serius, halangan tersebut memang wajar difikirkan tetapi bagi yang sekadar ingin mencuba, fotografi bawah air bukan lagi sesuatu yang terlalu sukar dan mahal.
Teknologi fotografi yang berkembang pesat pada hari ini juga banyak memberi 'manfaat' kepada mereka yang memiliki lesen skuba untuk merakam keindahan di dasar laut.
Sebagai hobi permulaan, perbelanjaan membeli kamera kalis air kini tidak lagi membebankan.
Sebuah kamera kompak berserta sarung kalis air kini boleh dibeli pada harga kira-kira RM3,000. Antara model-model yang dipadankan (dijual berasingan) dengan bekas kalis air adalah dari keluaran Canon, Nikon dan Olympus.
Bagaimanapun, rakaman fotografi bawah air tidak semudah seperti yang dilakukan di darat. Di dalam air, cabaran pertama bermula dengan kebolehan menguasai teknik apungan iaitu kemahiran untuk berada di dalam keadaan neutral (tidak tenggelam dan tidak timbul).
Selain tolakan arus di dasar laut yang menyebabkan gambar menjadi kabur, rakaman juga terbatas oleh faktor-faktor seperti kesukaran mendapatkan perspektif, kekurangan cahaya dan subjek yang sentiasa bergerak.

Keindahan Rama-Rama

RAMA-RAMA dengan kibaran sayap berwarna-warni dan corak-corak unik boleh menjadi antara subjek fotografi yang cukup menarik untuk dicuba. Walaupun fotografi jenis ini kelihatan sukar untuk dilakukan tanpa penggunaan lensa khas (macro), kebanyakan kamera digital moden hari ini dilengkapi keupayaan zum yang memadai untuk tujuan itu.
Langkah pertama boleh dimulakan dengan pemilihan lokasi yang menyediakan peluang untuk merakam kepelbagaian aksi serangga tersebut. Kunjungan ke taman bunga pada waktu pagi adalah keputusan terbaik.
Sebagai makhluk halus dan sentiasa bergerak, cabaran mendapatkan gambar yang jelas dan tajam mungkin akan menguji kemahiran fotografi anda.
Untuk imej yang berkualiti, kepantasan pengatup boleh ditetapkan pada kelajuan 1/1000 atau lebih (pada hari terang) bagi mengurangkan kekaburan akibat pergerakan subjek atau tempat hinggapnya.
Selain itu, kekaburan yang mungkin berlaku ekoran penggunaan zum secara maksimum juga boleh dikurangkan melalui penggunaan tripod.
Bagi pengguna lensa makro atau zum, titik fokus yang diletakkan pada bahagian mata atau kepala rama-rama dapat memastikan hampir keseluruhan subjek berada dalam fokus.
Pada bukaan pengatup yang disyorkan iaitu antara (f2.8 hingga f5.6), rakam seberapa banyak gambar apabila subjek hinggap pada bunga kegemarannya.

Fahami Leading Line


GARISAN penunjuk atau leading line adalah salah satu daripada 'bahasa-bahasa' penting yang harus difahami di dalam seni fotografi.
Sebagai asas dalam prinsip komposisi, teknik ini merujuk kepada penggubahan sebarang bentuk, garis atau liku yang membentuk arah tumpu terhadap subjek di dalam gambar.
Idea komposisi ini sebenarnya amat berkait rapat dengan sifat semula jadi pandangan mata manusia yang dipengaruhi oleh bentuk-bentuk menarik dan kreatif.
Contoh penggunaan garisan penunjuk di dalam seni fotografi termasuk deretan pokok, batu-batu di tepi pantai, aliran sungai, bayang-bayang dan pelbagai objek.
Penggunaan garisan penunjuk walaupun sangat bersifat subjektif dan halus memberikan impak yang kuat di dalam kandungan sesebuah gambar bahkan teknik yang sama telah digunakan di dalam seni lukisan sejak beratus tahun lalu.
Kekuatan teknik komposisi yang diguna pakai oleh jurufoto profesional ini boleh dilihat melalui keindahan karya-karya fotografi landskap terkenal seperti bangunan Taj Mahal, Tembok Besar China dan Jambatan Golden Gate.
Meskipun sering diaplikasikan pada genre landskap dan seni bina, kemahiran jurufoto memanfaatkan garisan penunjuk pasti berakhir dengan penghasilan karya-karya yang lebih menonjol dan kreatif.

Apr 15, 2013

Maggi Ketam Bandar Baru Bangi

 Gila Apa Semangkuk Maggie dengan seekor ketam berharga RM26 lebih...?


Bukan nak mengomen tapi ada la sikit perkara yang nak dikongsikan di sini selepas berapa lama dah tak buat posting spontan. Kali ni nak cerita pasal makan, makan maggie ketam. Trend baru la kan sekarang makanan pelik-pelik, tak lebih daripada gimik. 

Ya, sekarang zaman hype, zaman pop dan zaman gimik. So semua benda nak digimikkan termasuklah makanan...Tak dinafikan unsur gimik sangat berjaya dalam promosi.  Mungkin atas sebab tu lah kita lihat McD cukup tergugat dengan burger bakar. 

Ok kita tolak tepi burger bakar yang sememangnya sedap di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Sekarang balik cerita pada Maggie Ketam yang terletak beberapa jengkal dari kedai burger bakar tu.

Baru-baru ni aku ke Anjung Selera Ikan Bakar selepas terpanggil dengan gambar semangkuk Maggie dan seekor ketam. Nampak memang sedap.

Pendekkan cerita selepas habis makan semangkuk maggie ketam dan sepinggan nasi pataya aku dapat bil berjumlah RM54. Gila mahal tapi selepas check betul-betul rupanya diaorang tersilap bil.

Bila sampai bil baru, harga lebihkurang RM34++. Dalam bil tu ada dinyatakan harga maggie ketam... teka berapa? Haha, percaya ke tak RM26.++ . Gila apa semangkuk Maggie yang ditambah ketam dijual pada harga macam tu. Rasanya empat ekor ketam di pasar baru RM20. Sedangkan dalam mangkuk aku ada seekor ketam kecut. 

Rasa? Nak kata sedap taklah sedap sangat tapi bolehlah makan sampai habis. Tapi rasa tak berbaloi bayar sebanyak tu untuk semangkuk Maggie yang kalo disedia sendiri mungkin tak lebih RM10
  
Maka dengan itu, itu adalah kali pertama dan terakhir aku jejak Anjung Selera Ikan Bakar tu.. Wasalam. Tiada niat jahat sekadar berkongsi kekejaman peniaga yang sekarang hanya tahu nak kaya cepat. Tiada hati perut.

Mar 29, 2013

Land Rover City




KEWUJUDAN ribuan Land Rover yang bertali arus di Cameron Highlands pasti menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke pusat peranginan tersebut. Meskipun sudah terlalu usang, kenderaan berbentuk kotak empat segi itu masih gagah meredah laluan berbukit di sekitar Tanah Rata, Berinchang, Ringlet dan Kampung Raja.
Di dalam daerah Cameron Highlands dianggarkan terdapat 10,000 buah pacuan empat roda itu, menjadikan daerah tersebut kawasan berkepadatan kenderaan Land Rover tertinggi di dunia.
Persoalannya adalah bagaimana kenderaan keluaran Britain itu dibawa masuk sehingga berlambak di pusat peranginan itu. Tarikh dan sejarah sebenar 'ketibaan' Land Rover di situ bagaimanapun tidak dapat dipastikan namun Land Rover dikatakan dibawa masuk ke Cameron Highlands oleh pegawai-pegawai kerajaan semasa zaman pemerintahan Inggeris di negara ini.
Ketika itu kawasan beriklim sejuk itu dijadikan tempat istirehat bagi pegawai-pegawai Inggeris untuk melepaskan rindu terhadap kampung halaman mereka setelah lama berada di Tanah Melayu ketika itu.
Daripada penempatan kecil, Cameron Highlands berkembang menjadi sebuah pekan ekoran kerancakan sektor pertanian khususnya selepas pembukaan ladang dan kilang teh di situ.
Puluhan tahun selepas zaman kolonial dan era komunis, masyarakat Cameron Highlands mula mengenali Land Rover sebagai nadi dalam sektor pertanian mereka.
Segalanya bermula melalui pembelian kenderaan tersebut yang dilelong oleh pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jabatan-jabatan kerajaan. Pelupusan aset kerajaan secara tender itu membuka jalan kepada pekebun di situ membeli pacuan empat roda tersebut pada harga yang sangat rendah.
Bagi golongan petani, jentera yang kebanyakannya sudah rosak teruk pada bahagian enjin dan kotak gear itu berbaloi untuk diperbaiki.


Melalui jualan tender tersebut, sebuah Land Rover boleh dibeli pada harga RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keadaan dan status geran. Dengan membelanjakan kos tambahan kira-kira RM15,000 untuk baik pulih, sebuah Land Rover mampu ‘dihidupkan’ semula dan sedia untuk berbakti kepada tuannya.
Mengambil kira harga modal yang murah, golongan pekebun dan petani di Cameron Highlands berlumba-lumba mendapatkan Land Rover yang banyak dilelong di seluruh negara.Selain dijual pada harga yang rendah, kenderaan itu sendiri memiliki banyak keistimewaan yang diperlukan golongan petani khususnya kemampuan jentera itu mengangkut beban yang berat.
Sebagai kenderaan yang terbukti perkasa sepanjang perkhidmatannya di dalam pasukan polis dan tentera, Land Rover juga menjadi satu-satunya kenderaan yang dapat menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi Cameron Highlands yang berbukit dan berlembah. Sehingga kini, Land Rover masih menjadi nadi kepada kebanyakan penduduk Cameron Highlands.

JAGUH TANAH TINGGI

JAM menunjukkan pukul 6.30 pagi ketika Suresh Subramanyam menghidupkan enjin Land Rover miliknya sebelum meninggalkan ahli keluarganya yang masih lena diulit mimpi.
Begitulah rutin Suresh pada setiap hujung minggu yang membantu keluarganya menguruskan kerja-kerja di kebun kubis seluas setengah hektar di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Walaupun sudah berusia lebih 45 tahun, Land Rover model 109 itu masih cukup bertenaga mendaki laluan berbukit dan suluhan lampunya juga cukup terang untuk 'membelah' jalan yang masih berkabus.
Sesekali perjalanan pacuan empat roda itu terpaksa keluar dari laluan utama sehingga menghimpit rapat ke 'dinding' bukit bagi memberi laluan kepada kenderaan-kenderaan yang lebih kecil.
"Banyak sekali jasa Land Rover ini kepada kami sekeluarga. Walaupun sudah tua khidmatnya masih diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di kebun.
"Jika tidak ke kebun, Land Rover yang dihadiahkan oleh bapa kepada saya ini digunakan untuk kerja-kerja harian," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu merupakan salah seorang daripada beribu-ribu petani di Cameron Highlands yang bergantung hidup kepada pacuan empat roda Land Rover.
Beliau berkata, Land Rover keluaran 1989 itu dibeli oleh bapanya kira-kira 10 tahun lalu untuk kegunaan mengangkut hasil kebun kepada pemborong.
Katanya, berbekalkan modal RM7,500, Land Rover yang dibeli dibaiki sedikit demi sedikit sebelum dapat digunakan.
"Sebagai petani kecil-kecilan kita tidak mempunyai wang untuk membeli sebuah pacuan empat roda yang baharu. Lagipun kenderaan ini hanya digunakan untuk kerja-kerja berat
"Kadang-kala meragam juga namun tidak memerlukan modal yang besar untuk dibaiki ," katanya.
Bagaimanapun Suresh memberitahu, populariti Land Rover di Cameron Highlands bukan hanya kerana ia dijual murah tetapi kenderaan itu sendiri mempunyai banyak kelebihan.
Katanya, penggunaan pacuan empat roda itu sesuai untuk mengangkut hasil pertanian dari kebun yang kebanyakannya terletak di lereng dan puncak bukit.
Untuk melihat kuasa sebenar sebuah Land Rover, penulis dan jurugambar dibawa ke Lembah Bertam yang merupakan salah satu daripada kawasan pertanian utama di Cameron Highlands.
Seperti diperkatakan oleh Suresh, dari puncak bukit itu kelihatan beberapa buah Land Rover usang yang masih lagi gagah mengangkut beban walaupun separuh daripada badannya senget dan mengeluarkan kepulan asap hitam.

Feb 2, 2013

Landscape of Putrajaya


 




Sorry sebab lama sangat menghilang, rasanya baik sambung semula blog ni. Sebagai permulaan 2013, di sini diupload beberapa keping gambar Putrajaya untuk tatapan semua. Gambar masih tidak seberapa (selagi tak dapat Filter idaman).