May 25, 2010

Grand Starex Royale


BERAPA orang penumpang yang boleh dimuatkan dalam kereta sedan biasa? Paling ramai mungkin tiga dewasa atau empat kanak-kanak, itu pun sudah cukup sendat. Bagaimana jika bilangan ahli keluarga yang anda dimiliki lebih daripada itu? Tambah pula membawa penumpang secara berlebihan bukan sahaja merbahaya malah boleh menjejaskan kenderaan dalam jangka masa panjang.

Jika itu masalah yang dihadapi, sudah tiba masanya untuk mendapatkan sebuah kenderaan yang lebih besar. Keputusan yang lebih menjimatkan daripada menanggung sebuah lagi kereta. Tapi keputusan untuk beralih kepada kenderaan pelbagai guna (MPV) bukan semudah yang difikirkan. Ada beberapa perkara yang harus diambil kira apatah lagi harga bagi sebuah MPV di negara ini yang mahal.

Itu belum lagi mengambil kira tren MPV mewah seperti Alphard, Estima, Elysion dan Elgrand yang berharga lebih RM200,000. Hakikatnya kemewahan MPV tersebut memang tidak dapat disaingi oleh model-model yang lebih murah. Namun kemunculan Grand Starex keluaran Hyundai dilihat sebagai pesaing paling dekat kerana faktor saiz dan keselesaan yang begitu menyamai MPV mewah.

Malah dengan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Grand Starex pada harga kira-kira RM150,000, ia menjadi model 'pengacau' antara MPV kategori sederhana dan mewah. Faktor yang menyumbang pertambahan bilangan MPV Korea itu saban hari. Sebagai usaha meningkatkan lagi taraf MPV itu di negara ini, Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) memperkenalkan edisi naik taraf - Grand Starex Royale.

Pembaharuan fizikal paling ketara pada edisi premium itu adalah pemasangan facelift penuh dengan bodykit yang lebih bergaya. Paling ketara adalah empat jalur gril di bahagian depan yang menambah gaya gah sebuah MPV. Selain itu, beberapa pembaharuan juga dilakukan pada model terdahulu. Menceritakan soal saiznya, Grand Starex Royale menyediakan empat baris tempat duduk yang memberikan keselesaan kepada 11 penumpang. Kelebihan yang menyaingi model-model lebih mahal.


Kelebihan ruang dimanfaatkan dengan tempat duduk tengah yang boleh dilipat untuk dijadikan tempat rehat tangan dan berfungsi sebagai meja makan mini. Selain itu, MPV ini juga mempunyai ruang simpanan barang pelbagai saiz.

Bonus keselesaan bukan sahaja ditambah dengan penyelarasan sudut pada setiap kerusi malah enam salur pendingin hawa tersedia untuk menghembus udara dingin ke arah penumpang dan segenap ruang. Akses ke dalam kabin dipermudahkan dengan bukaan luas pintu gelongsor. Walaupun tidak beroperasi secara automatik, akses pada kedua-dua belah badan kenderaan juga memudahkan isian kargo.

Satu perkara menarik sepanjang sesi pandu uji adalah sistem audio dan video yang ada pada MPV ini. Memandu kenderaan sebesar itu tidaklah begitu membosankan walaupun tanpa penumpang kerana Grand Starex Royale dilengkapi pemain DVD Pioneer dengan paparan skrin di papan muka dan skrin tujuh inci di bahagian tengah (untuk penumpang belakang).

Secara keseluruhan, MPV yang dikenali dengan nama H-1 dan H-200 di beberapa negara Asia itu menawarkan keselesaan yang lebih daripada memuaskan. Pemanduan dan kawalannya yang lancar menyimpang jauh daripada tanggapan penulis sebelum memandu kenderaan gergasi ini.

Kebolehan kawalan ketika memandu masuk dan keluar di ruang parkir pernah dipersoalkan. Namun kerisauan itu hilang sebaik sahaja saya memutarkan stereng roda lembut yang dibantu dengan penglihatan belakang melalui pengawasan kamera undur dan empat mata sensor pada bumper. Kawalannya di luar tanggapan. Bahkan radius pusingan lebih kecil daripada sesetengan pacuan empat roda. Bukan sahaja untuk membelok, malah membuat pusingan U pun bukanlah masalah besar dengan jentera ini.

Cuma kekurangan pada pandangan penulis adalah tuas brek tangan yang tenggelam sempit di antara tempat duduk agak menyukarkan operasi. Bahkan memerlukan pemerhatian lebih ketika melepaskan brek untuk memandu.

Begitu juga dengan paparan meter yang tidak dinafikan kelihat begitu membosankan. Seni reka yang ringkas selalunya menepati tetapi di dalam kes MPV ini, ia memerlukan sedikit dekorasi. Sedikit kekurangan itu tidak menjejaskan Grand Starex Royale sebagai kenderaan pelbagai fungsi yang baik.

Namun apakah jaminan yang dimiliki untuk membawa jumlah penumpang seramai 11 orang? Pertamanya, keselamatan telah dipertingkatkan dengan binaan tiang dan rangka yang mampu menahan impak pelbagai kategori. Keduanya adalah sembilan lilitan tali pinggang keledar untuk penumpang barisan belakang. Bagaimanapun hanya dua beg udara melindungi pemandu dan penumpang di tempat duduk pertama.


ENJIN

Enjin turbo diesel dengan ciri Variable Geometry Turbocharger (VGT) didakwa menghasilkan kuasa tork maksimum 392 Nm ketika kelajuan enjin mencecah 2,000 hingga 2,500 rpm.

Sistem enjin diesel generasi kedua yang dibangunkan BOSCH terbukti mampu menyesuaikan pemanduan mengikut keadaan. Semasa sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Semenyih, penulis merasakan kuasa yang mencukupi dilepaskan oleh enjin 2.5 liter itu. Kelancaran menggunakan transmisi lima kelajuannya dipermudahkan dengan penukaran secara manual.

Lebih menyakinkan lagi apabila jarak terkumpul dengan isian 75 liter diesel ketika membawa tujuh penumpang hampir mencapai 590 km. Kuasa enjinnya juga tidak pernah semput sepanjang perjalanan bandar dan lebuh raya.

Grand Starex Royale yang ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu putih kristal, hitam batu, perak dan kelabu boleh dimiliki pada harga RM148,888 (termasuk cukai jalan).

Jaminan keselamatan ditambah dengan jaminan pengeluaran Hyundai sehingga pemanduan mencapai jarak 300,000 kilometer atau bersamaan dengan tempoh pemanduan pada kadar biasa selama lima tahun. Jaminan paling lama yang pernah ditawarkan oleh mana-mana jenama. Berbaloi.
Starex

No comments:

Post a Comment